testing

" Ketika hatimu terlalu berharap kepada seseorang maka Allah timpakan keatas kamu peritnya sebuah pengharapan supaya kamu mengetahui bahawa Allah amat mencemburui hati yang berharap selain daripada-Nya.

Maka Allah menghalang kamu daripada perkara tersebut agar kamu kembali berharap kepada-Nya "

Riwayat Imam as Syafie

Saturday, 19 March 2016

CTU086- RIBA

PENGHARGAAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT, Penguasa sekalian alam kerana dengan rahmat serta izinNya pada hari ini maka kita semua masih lagi bernafas dan mampu merasai nikmat kurniaanNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabat-sahabat baginda. Dengan jerih payah baginda dalam menegakkan agama Islam suatu ketika dahulu maka pada hari ini kita semua dapat merasai nikmat yang paling besar iaitu nikmat Islam dan nikmat iman. Syukur ke hadrat Illahi yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih yang telah menganugerahkan ilham kepada kami untuk merangka penjelasan ini kepada umat Islam berkaitan sebuah isu yang akan kami kupas yang mana isu ini amat berkait rapat dengan urusan kehidupan seharian dan agama. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada hamba-hambaNya iaitu kaum mukminin untuk merujuk dan bertanya sesuatu persoalan kepada para ulama’ mahupun orang yang lebih bijaksana dalam sesuatu hal. 

Menelusuri satu persatu secara kasar, riba’ berlaku dalam kehidupan seharian tanpa disedari oleh umat Islam. Oleh hal yang demikian, kami telah banyak mentelaah beberapa jenis buah buku di samping melayari laman sesawang bagi menjalankan kajian dengan lebih jelas dan terperinci sepanjang perlaksanaan tugasan ini dijalankan. Terlebih dahulu, ingin sekali kami kalungkan ucapan terima kasih kepada Ustaz Mohamad Annas Syafiq Bin Ayob atas bimbingan serta panduan daripada beliau dalam memberi tunjuk ajar kepada kami bagi melaksanakan tugasan ini. Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang turut membantu kami dalam mencetuskan idea dan menghasilkan cadangan yang bernas bagi memberi penjelasan tentang riba’ yang kian berlaku secara meluas dalam negara ini.

Alhamdulillah kami telah memperolehi banyak ilmu pengetahuan yang umum dan khusus tanpa kami sedari sepanjang usaha menjalankan tugasan ini. Maha Suci Allah yang memberi kelapangan dalam hati kami dalam mempelajari ilmu tetntang riba ini.Akhir sekali, kami ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang mana telah menyumbangkan idea dan tenaga kepada kami sepanjang perlaksanaan tugasan ini dijalankan. Mudah-mudahan tugasan ini mendekatkan kita dengan Allah SWT melalui pemahaman yang lebih jelas tentang kehendakNya di samping melengkapkan tanggungjawab kita sebagai hamba yang soleh dan solehah. InshaAllah, Amin Ya Rabbal Alamin.


Pendahuluan
Syariah dan fiqh amat berkait rapat dalam usaha seseorang itu untuk memahami dan mempraktikkan amalan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Syari’ah merupakan asas pelaksanaan amali seseorang mukallaf yang wajib dipelajari oleh setiap muslim dalam usaha memperbaiki diri menjadi hambaNya yang lebih baik dalam setiap aspek kehidupan. Fiqh merupakan fahaman yang mutlak atau mendalam tentang syari’at Allah SWT. Umat Islam pastinya tidak akan terlepas daripada aturan dan norma-norma yang berlaku menurut hukum syara’. Mereka juga barangkali memikirkan cara yang terbaik bagi melaksanakan segala aturan itu dengan tujuan ingin melengkapkan hidup dan mencapai mardhatillah. Justeru, amat penting bagi mereka untuk mempelajarinya bagi menjalani kehidupan mengikut syariat Allah agar bertepatan dengan kehendakNya.

Fokus umat manusia tidak seharusnya terhad kepada amalan ibadat fardhu semata-mata. Mereka seharusnya turut memberi perhatian kepada keseluruhan fiqh yang merangkumi setiap aspek kehidupan seseorang iaitu fiqh ibadah, fiqh munakahat, fiqh muamalat, fiqh jenayah, fiqh al-qada’ serta fiqh siasah. Walaubagaimana pun, banyak masalah yang muncul dalam kalangan umat Islam yang berusaha memahami dan mempraktikkan amalan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Fahaman yang bertentangan dengan ajaran agama Islam kian merebak dan berjangkit dalam kalangan umat manusia pada hari ini. Hal ini dikatakan demikian kerana kelemahan terhadap kefahaman fiqh terutama dalam aspek fiqh muamalat. Oleh hal yang demikian, mereka wajib mengetahui tentang perkara yang sering bertentangan dengan fiqh muamalat iaitu riba’.

Allah SWT telah mengharamkan riba’ sebagaimana Allah telah mengharamkan arak dan judi. Walaubagaiman pun, riba’ kurang diberi perhatian oleh kebanyakan umat Islam. Mereka kurang diberi pemahaman yang jelas tentang takrifan dan hikmah pengharaman riba’ lantaran mereka lebih menumpukan perhatian ke atas hal-hal yang lain. Natijahnya, isu ini dianggap sebagai perkara yang remeh yang tidak memerlukan perhatian berat seperti dosa-dosa besar yang lain. Pada zaman yang kian maju ini, riba’ telah sebati dalam diri mereka. Kebiasaanya, riba’ amat sinonim sebagai faedah yang sering diamalkan oleh institusi kewangan konvensional. Sebagai contohnya, amalan riba’ akan dikenakan oleh pihak bank apabila bank membayar faedah kepada penyimpan dan mengenakan bunga kepada peminjam. Walaubagaimana pun, perbezaan yang jelas ini masih membawa kepada persamaan iaitu bank mendapatkan keuntungan daripada kedua-duanya. Semoga apa yang disampaikan dalam tugasan ini dapat difahami dengan lebih mendalam dan mudah-mudahan umat manusia mampu mencapai keredhaan Allah SWT , InshaAllah.

1.0 Sejarah Permulaan Riba’ di Malaysia.
Umat Islam di Malaysia mula mengorak langkah mengisi dan mencari erti kemerdekaan terutamanya dari segi ekonomi dan politik apabila merdeka pada tahun 1957. Maka aktiviti tahun-tahun 60-an dan 70-an berkisar kepada soal membangunkan umat Islam dalam bidang ekonomi. Ketika itu, umat Islam di seluruh dunia masih teramat mundur dalam bidang ekonomi.

Seperti yang lazim di kebanyakan negara, untuk menentukan bahawa ekonomi negara bergerak ke arah kemakmuran maka Bank Negara (Central Bank) ditubuhkan. Di Malaysia, Bank Negara Malaysia telah ditubuhkan pada 26 Januari 1959. Antara lain Bank Negara Malaysia memainkan peranan dalam memandu ekonomi negara ke arah pertumbuhan, tahap pengangguran yang rendah, kestabilan harga, imbangan dalam pembayaran peringkat antarabangsa yang baik, menghapuskan kemiskinan dan menstrukturkan masyarakat (Bank Negara 2002). Dalam melaksanakan tanggung jawab Bank Negara itu, perkara utama yang mesti dibuat ialah membekalkan matawang dan menjaga nilainya.

Dalam fasa ini bidang ekonomi di Malaysia amat ketara dikuasai oleh orang bukan Islam. Kebanyakan negara-negara umat Islam lain juga baru mencapai kemerdekaan dan cuba berusaha membangunkan negara masing-masing tanpa perlu memikirkan tentang label-label Islam dalam segala usaha ekonomi. Ini mungkin kerana tiada apa yang dimiliki untuk 'diislamkan' atau diberi identiti Islam.

Sememangnya, umat Islam memandang bidang ekonomi dunia dikuasai oleh bukan Islam. Masalah yang paling besar adalah riba’. Akan tetapi umat Islam tidak dapat lari daripada riba’ kerana sistem ekonomi dunia dikuasai orang bukan Islam. Maka fatwa yang dipakai ketika itu adalah bahawa kedudukan ekonomi umat Islam berada dalam darurat. Oleh itu riba’ yang asalnya dikenali sebagai bunga ditukar istilah menjadi faedah, dan ia pula dianggap dibolehkan. Walaupun terdapat tentangan daripada segolongan ulama, tetapi pemahaman mengenainya adalah begitu (Zin Mahmud 1999). Walau bagaimanapun masalah riba’ pada peringkat ini masih lebih bersifat masalah individu seperti sama ada menerima atau tidak bunga yang diberi oleh bank-bank yang semuanya milik bukan Islam. 


2.0 Maksud riba’ dari segi
i. Bahasa: subur atau bertambah
ii. Syarak: aqad bagi sesuatu pertukaran barang-barang yang tertentu tetapi tidak diketahui persamaannya menurut kiraan syarak ketika aqad atau diketahui persamaannya dengan menggunakan kedua-dua pertukaran itu atau salah satu dari keduanya.
3.0 Jenis-jenis riba’.
I. Riba’ terbahagi kepada tiga jenis iaitu

Riba’ Al-Fadhl
Riba’ jenis ini merupakan riba’ yang dibayar lebih kepada satu pihak yang menukarkan barang. Riba’ ini sering berlaku dalam jual beli barangan yang sama jenis dengan tambahan atau lebihan yang berbeza. Sebagai contohnya, 1kg gandum Mesir  dijual dengan 2kg gandum Syria. Riba’ al-Fadl melibatkan barangan riba’ yang sama jenis dengan kadar  berat yang berbeza jika jenis sesuatu barangan itu dijual secara timbang atau kuantiti. Unsur riba’ iaitu bayaran tambahan atau lebihan yang terdapat dalam transaksi muamalat ini amat jelas Transaksi ini jelas haram dan dilarang sama sekali berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud:

“ Janganlah kamu menjual emas dengan emas kecuali sama dengan sama, dan janganlah kamu melebihkan sebahagiannya atas sebahagian yang lain. Janganlah kamu menjual perak dengan perak kecuali sama dengan sama, dan janganlah kamu melebihkan sebahagiannya atas sebahagian yang lain “
(Riwayat Bukhari)


Riba’ Al-Nasi’ah
Riba’ jenis ini adalah riba’ yang dibayar lebih kerana dilewatkan pembayarannya. Dalam erti kata yang lain, riba’ nasi’ah merupakan jual beli yang melibatkan barangan riba’ dengan cara tangguh dan kedua-duanya mempunyai illah yang sama. Hukum ini melibatkan semua tukaran samada barangan tersebut sama jenis atau jenis yang berbeza, samada wujud bayaran tambahan atau tidak.
Riba’ jenis ini amat popular dalam kalangan masyarakat jahiliah. Riba’ jenis ini berlaku apabila seseorang itu memberikan sejumlah hutang kepada orang lain untuk satu tempoh masa. Sebagai misalnya, tempoh yang diberikan adalah 12 bulan. Dalam pada masa yang sama telah diletakkan syarat bahawa sekiranya dalam tempoh 12 bulan seorang yang berhutang itu tidak mampu untuk menjelaskannya , maka tempoh masa akan dilanjutkan mungkin selama 6 bulan dengan bayaran tambahan.
Menurut Ibn Jarir al-Tabariy, sesungguhnya seorang lelaki pada zaman jahiliah mempunyai sejumlah hutang ke atas seorang lelaki yang lain. Apabila sampai tempohnya lelaki pemiutang ini akan meminta hutangnya. Namun, lelaki yang berhutang ini tidak mampu untuk menjelaskannya lalu meminta dilanjutkan tempoh pembayarannya sambil berjanji untuk membayarnya kembali berserta kadar lebihan (bunga) dan lelaki pemiutang itu bersetuju. Inilah riba’ yang berlipat ganda( adaafan mudaafah) lalu Allah mengharamkannya. Allah juga berfirman dalam Surah Al-Imran ayat yang ke-130,

Ayat ini bermaksud,“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba’ dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya”
Secara ringkasnya setiap transaksi jual beli akan termasuk ke dalam riba’ jenis ini apabila terdapat dua perkara iaitu pertama, jualan dilaksanakan secara bertangguh. Kedua, kedua-dua barangan yang dijual beli terdiri daripada item riba’ yang mempunyai illah yang sama samada barangan tersebut sama jenis atau pun tidak serta diketahui sukatan atau pun tidak. Sebagai contohnya, pertukaran di antara emas dengan emas secara bertangguh. Kedua-duanya merupakan item riba’ dan mempunyai illah yang sama. Sebarang penangguhan dalam transaksi ini menyebabkan berlakunya riba’ al-nasi’ah. 

Riba’ Al-Yad
Riba’ jenis ini dibayar lebih kerana tidak diterima dalam majlis aqad jualbeli. Riba’ ini muncul akibat kewujudan jual-beli atau pertukaran barang ribawi mahupun yang bukan ribawi yang mana terdapat perbezaan nilai transaksi apabila penyerahan jual-beli diserahkan sehingga hari kemudian. Hal ini demikian kerana riba’ al-yad mempunyai syarat apabila transaksi berlaku iaitu barang dapat yang terlibat dalam urusan jual-beli terlibat dalam betuk tunai atau kredit. Menurut ulama mazhab Syafie, riba’ al-yad berlaku dalam penangguhan serahan dalam jual beli barangan ribawi yang berlainan jenis. Dari Abdullah bin Umar dari Nabi SAW, beliau bersabda:
”Tidak halal pinjaman dan jual-beli, tidak juga dua syarat dalam satu jual-beli, dan tidak boleh menjual barang yang tidak ada padamu”
Pengertian hadis ini memberikan penjelasan bahawa tidak boleh melakukan transaksi dalam satu akad yang terdapat pinjaman dan jual beli. Sebagai misalnya, seorang lelaki mahukan kereta milik jirannya dan bersedia memberikan pinjaman kepada jirannya dengan syarat jirannya perlu menjual kereta itu kepadanya. Hadis tersebut juga melarang seseorang menentukan dua syarat dalam satu akad jual beli. Sebagi contoh, seorang lelaki menjual motornya kepada jirannya secara tunai dengan syarat jirannya harus menjual kembali motornya kepada lelaki itu dalam bentuk kredit. Urus niaga ke atas barang yang tidak ada juga dilarang sama sekali. Ulama mazhab selain Syafie seperti mazhab Hanafi merangkumkan apa yang dirujuk sebagai riba’ yad (oleh mazhab Syafie) ke dalam kelompok riba’ nasiah.

II. Kategori riba’ menurut mazhab
Hanafi, Maliki dan Hanbali
i. Riba’ Al-Fadhl
ii. Riba’ Al-Nasi’ah
Syafie
i. Riba’ Al-Fadhl
ii. Riba’ Al-Nasi’ah
iii. Riba’ Al-Yad






4.0 Kesan Mengamalkan Riba’
Islam mengharamkan riba’ kerana amalan ini akan mendatangkan implikasi yang amat ketara dalam kehidupan setiap Muslim. Riba’ merupakan satu bentuk penindasan terhadap orang-orang miskin yang membuat pinjaman ekoran kesempitan hidup. Kebiasaannya, mereka membuat pinjaman kerana ketiadaan wang yang mencukupi untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pendidikan anak-anak. Peminjam akan mengambil kesempatan untuk meminjamkan wang dengan syarat-syarat yang boleh menyebabkan berlakunya riba’. Sebagai contoh, peminjam wang yang juga dikenali sebagai pemiutang akan mengenakan jumlah tambahan keatas jumlah yang asal yang perlu dibayar oleh penghutang. Natijahnya, peminjam yang kesempitan wang akan bertambah miskin. Di samping itu, mereka berasa tidak tenang dan fikiran mereka bercelaru kerana kebimbangan yang sering bertandang dalam fikiran disebabkan kelewatan untuk membayar hutang yang sentiasa bertambah bunganya.

Selain itu, pihak yang mengamalkan riba’ akan bertambah kaya dan senang. Riba’ akan mendorong mereka untuk hidup bersenang-lenang tanpa melakukan sebarang pekerjaan yang melibatkan pengeluaran ataupun perniagaan sedangkan Islam amat menggalakkan umatnya agar berusaha dan bekerja. Ini amat bertentangan dengan Islam yang amat menggalakkan umatnya bekerja dan mencari rezeki. Rasullullah SAW swndiri yang merupakan kekasih Allah dan manusia yang mulia pun pernah bekerja sebagai pengembala kambing dan peniaga. Riba’ hanya meningkatkan kekayaan sebelah pihak sahaja dan langsung tidak menyumbang kepada kekayaan Ummah Islam. Orang-orang yang tidak berkemampuan dari segi kewangan akan menimbulkan kebencian dan perasaan iri hati terhadap golongan ini. Dalam pada masa yang sama, sikap kedekut, tamak haloba dan keegoan yang tinggi dalam diri golongan ini untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang lebih memerlukan akan meruntuhkan sifat saling membantu dan mengasihani antara satu sama lain yang kian menghilang dari dalam diri mereka. Sikap yang semakin menebal ini kemungkinan besar telah menjadi darah daging yang sukar dikikis dalam diri mereka. Amalan ini akan memecah-belahkan hubungan sesama manusia lantaran mampu merenggang dan merosakkan hubungan biarpun mereka hidup dipayungi agama dan negara yang sama. 

Amalan riba’ turut merosakkan kemaslahatan negara di mata dunia. Riba’ yang sangat tinggi faedahnya akan memusnahkan daya penarik pelabur-pelabur asing untuk melabur dalam sektor ekonomi negara ini. Seterusnya, riba’ menyebabkan kekurangan sektor  pekerjaan yang akhirnya menjejaskan pendapatan negara. Ketidakseimbangan dari segi penawaran dan permintaan seterusnya boleh membawa negara kepada kancah kemelesetan ekonomi. Oleh itu, perkembangan ekonomi kian merosot dan mengakibatkan inflasi. Negara juga menjadi goyah dan tidak stabil kerana riba’ menjadi permulaan berlakunya kegiatan yang tidak sihat. Secara keseluruhannya, riba’ boleh menggugat kestabilan masyarakat dan negara. Amalan riba’ mewujudkan perasaan tidak puas hati dalam sesetengah pihak kerana penerima riba menjadi berat sebelah dan tidak berlaku adil. Justeru, amalan sebegini menimbulkan kekacauan dalam kalangan masyarakat sehingga terjadinya huru-hara dan jenayah dalam negara seperti rompakan, pembunuhan, penyeludupan manusia dan sebagainya. Perpaduan dan kemakmuran hidup bermasyarakat yang dipupuk sejak dari generasi terdahulu akan lenyap secara perlahan-lahan. 



5.0 Syarat-Syarat Penjualan Barang-Barang Untuk Mengelakkan Riba’
Untuk mengelakkan riba’, penjualan barang-barang telah pun ditetapkan beberapa syarat. Ia terbahagi kepada 2 kategori iaitu barang yang sama jenis dan barang yang tidak sama jenis. Bagi barang yang sama jenis syarat yang telah ditetapkan ialah barangan hendaklah sama sukatan atau timbangan keduanya. Ia juga acap kali diaplikasikan sebagai sistem barter yang dahulunya terkenal pada zaman kegemilangan sektor perdagangan. Sebagai contoh, seseorang itu mahu menukar satu kilo beras mahsuri dengan satu kilo beras yang lain walaupun berlainan kualiti dan jenis. Barangan tersebut hendaklah sama dengan tunai dan ianya hendaklah berterimaan di dalam majlis aqad sebagai tanda proses jual beli telah berlaku.

Seterusnya, bagi kategori barangan yang tidak sama jenis syarat yang telah ditetapkan ialah barang hendaklah sama dengan tunai seperti ekonomi yang dijalankan pada masa kini. Sebagai contoh, gula ditukar dengan wang ringgit yang berjumlah sama seperti harga gula tersebut. Selain itu, barangan tersebut hendaklah berterimaan di dalam majlis aqad. Jika barang pertukaran itu berlainan jenis seperti beras dan wang dan sebagainya tidak dikenakan apa-apa syarat dan boleh dijualbeli sebagaimana dalam persetujuan antara kedua pihak.


6.0 Langkah Menangani Riba’
Pada zaman ekonomi meningkat ini terdapat banyak sekali jenis riba’ yang disedari atau tidak sedang berleluasa di kalangan masyarakat kita. Hal ini menjadi sebuah situasi yang begitu menyedihkan kerana riba’ merupakan hal yang diharamkan. Riba’ menjadi sebahagian daripada ekonomi yang dianggap perlu sehingga menjadi perkara biasa apabila dilakukan. Pelbagai jenis riba’ yang telah menjadi sebahagian dari sehari-hari serta dengan mudah ditemukan seperti sewa rumah, kad kredit dan juga tambah nilai telefon bimbit. Riba’ membuat jumlah wang yang harus dibayarkan jumlahnya berubah bergantung dengan waktu pembayaran serta pada keadaan tertentu.

Islam sudah menjelaskan tentang pengharaman riba’. Sama ada riba’ nasi’ah atau riba’ fadhl kerana kerosakan yang diakibatkan riba’ tersebut. Baik kerosakan yang terjadi dalam ekonomi negara, rosaknya akhlak umat ataupun dalam usaha-usaha lain dalam masyarakat. Oleh itu, terdapat pelbagai  solusi islam agar kita terhindar dari riba’. Terdapat banyak cara untuk menangani masalah riba’ yang berlaku dalam masyarakat islam pada zaman kini. 
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda:
لعن رسول الله - صلى الله عليه وسلم - آكل الربا وموكله وكاتبه وشاهديه وقال : هم في الإثم سواء

“Rasulullah SAW melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi makan dengan riba, pencatat riba, dan dua orang saksinya. Beliau mengatakan: Mereka semua itu sama (dalam dosa)”
Banyak jalan keluar yang diberikan islam agar terhindar dari riba tersebut antaranya ialah dengan mempunyai ilmu yang cukup tentang bahaya, dan akibat dari riba itu sendiri. Sebab orang yang melakukan sesuatu tanpa didasari dengan ilmu, maka hal tersebut akan merugikan dirinya sendiri.


Seperti yang tertulis dalam Al-quran, tentang larangan riba:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لاَ تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافًا مُّضَاعَفَةً وَاتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Ertinya:
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat-ganda dan bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan.                                             (Q.S. Ali Imran: 130)
Selain itu, bertransaksi dengan cara-cara yang dihalalkan dan jauh dari riba. Untuk lebih mengetahui beberapa hal dalam jual-beli yang dilarang atau diharamkan dalam Islam atau dengan kata lain kita boleh mengkaji tentang transaksi berjual beli dalam islam yang diharamkan dengan lebih mendalam. Islam membolehkan transaksi dengan cara mudharabah. Mudharabah merupakan satu cara yang melibatkan seseorang mengeluarkan modal sementara yang menjalankan atau yang bekerja (berusaha) orang lain. Kemudiannya nanti untungnya dibahagi dua sesuai dengan kesepakatan. Bila rugi, maka kerugiannya hanya ditanggung oleh punya modal, rakannya yang bekerja tidak menanggung kerugian karena ia telah menanggung kerugian berupa kerja dan usaha. Di samping itu, Islam membolehkan apa yang disebut dengan salam, iaitu jual beli dengan cara pembayaran terlebih dahulu secara tunai sedangkan barangnya belum diperoleh dan juga syarat-syaratnya telah disebutkan dalam kitab-kitab fiqh.

Di samping itu, Islam membolehkan jual beli yang disebut muajjal. Iaitu menambah atau menaikkan harga dalam transaksi tidak tunai. Islam membolehkannya demi kepentingan manusia dan agar mereka keluar dari riba. Islam menganjurkan untuk mendirikan badan atau yayasan khusus untuk hutang piutang yang baik tanpa ada unsur riba, baik untuk individu, antara kumpulan mahupun untuk antara penguasa. Hal ini dalam rangka mewujudkan solidaritas sosial antara umat Islam. Islam mensyariatkan pemberian zakat kepada orang-orang yang terbebani hutang dan fakir miskin, ibnu sabil yang kehabisan bekal dan yang lainnya sehingga keperluan mereka teratasi dan taraf kehidupan mereka meningkat. Sudah jelas jika di dalam Islam riba merupakan hal yang haram. Riba membuat seseorang banyak dikeliling hutang akibat kenaikan bunga yang tinggi. Keberadaan riba membuat hidup kurang tenang dan tidak tenteram akibat banyaknya hutang yang harus dibayar.

Wang bulanan atau gajian yang seharusnya dapat digunakan untuk membeli keperluan malah habis digunakan untuk melangsaikan bunga yang ada. Dengan pelbagai bahaya riba’ tersebut tidak hairanlah jika seseorang akan merasa gelisah dan banyak berfikir setiap saat. Jual beli yang diperbolehkan adalah ketika kedua belah pihak menyetujui syarat yang ditetapkan oleh kedua belah pihak. Dalam hal ini tentu tidak boleh ada paksaan sehingga salah satu pihak merasa dirugikan dan tertekan. Saling bantu membantu merupakan langkah baik yang dapat dilakukan untuk menghindari riba’. Ketika masyarakat saling bantu membantu tentu taraf kehidupan dengan sendirinya akan meningkat sehingga keperluan ekonomi serta kesulitannya dapat diatasi. Sedekah dan membantu orang fakir merupakan hal baik yang tidak menyebabkan wang atau harta kita berkurang dan malah semakin bertambah. Memiliki sifat qanaah dapat menghindarkan kita daripada bahaya riba. Sifat qanaah dapat dilakukan dengan sentiasa bersyukur atas apa yang diberikan kepada kita. Sifat bersyukur membantu kita agar terhindar dari perasaan serba kekurangan dan ingin hidup dalam kemewahan. Rasa ingin memiliki sesuatu dan mudah iri hati dengan apa yang dimiliki oleh orang membuatkan  kita dengan mudah membeli barang walau dengan cara berhutang.

Berhenti melihat keatas dan mulalah melihat kebawah. Hal ini dapat menghindarkan kita dari rasa kurang dan akan mula rasa bersyukur kerana kita tidak berada pada keadaan yang sangat kekurangan Kita perlu sentiasa bermuhasabah bahawa diluar sana masih ramai orang yang kekurangan malah lebih dari kita. Inilah beberapa solusi atau jalan keluar yang ditawarkan oleh islam agar umat manusia keluar dari riba’ sehingga kemuliannya sebagai manusia tetap terpelihara dan keperluannya dipenuhi serta kepentingan dan kemajuannya terjamin.



http://www.solusiislam.com/2013/02/solusi-islam-agar-terhindar-dari-riba.html
http://dalamislam.com/landasan-agama/fiqih/cara-menghindari-riba

Rujukan
Solusi Islam Agar Terhindar Dari Riba'. (2013). Retrieved March 16, 2016, from Solusi Islam: http://www.solusiislam.com/2013/02/solusi-islam-agar-terhindar-dari-riba.html

6 Cara Menghindari Riba. (2015, December 30). Retrieved March 16, 2016, from DalamIslam: http://dalamislam.com/landasan-agama/fiqih/cara-menghindari-riba

Ibrahim, H. (1998). Ekonomi Islam-Pengalaman Malaysia.

Info Islam Bab 4: Riba'. (n.d.). Retrieved March 16, 2016, from al-azim: www.al-azim.com

Jenis Jenis Riba. (n.d.). Retrieved March 16, 2016, from Academia: www.academia.edu/9357725/JENIS_JENIS_RIBA


No comments:

Post a Comment